Sunday, May 5, 2013

Lalai



Alhamdulillah.

Proses pembuangan undi telah pun tamat sekitar pukul 5.00 petang tadi. Masa untuk kita sama-sama menanti keputusan rakyat Malaysia tentang siapakah yang majoriti kita pilih untuk mewakili suara kita di Dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat nanti.

Hari ini merupakan kali pertama aku mengundi walaupun aku telah layak mengundi sejak PRU 11 lagi. Kenapa baru sekarang? Sebab dulu malas. Haha.

Bukan, bukan.

Aku mula mengundi tahun ini kerana aku mulai yakin yang Malaysia telah dan sedang berubah. Sama ada melalui Transformasi atau Reformasi, perubahan itu memang berlaku.

Perubahan memerlukan segala sokongan dan dorongan yang diperlukan untuk memastikan arah tuju itu ke arah yang lebih baik. Satu (secara teknikalnya dua) undi daripada aku itu sebenarnya menyumbang kepada perubahan yang akan berlaku. Undi itu juga adalah salah satu tanggungjawab asas sebagai warganegara Malaysia yang perlu dan telah aku laksanakan. Tanggungjawab seterusnya ialah memastikan keputusan yang datang daripada undi kita ini - tidak kiralah memihak kepada pihak mana - benar-benar akan membawa perubahan dan jika tidak berlaku, maka kita perlu memastikan ia berlaku.

Dalam Pilihan Raya Umum ke 13 ini, aku telah mengambil langkah tidak menyebelahi Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat (PR) atau ISMA atau mana-mana calon Bebas melainkan cap Ayam sebab aku ada t-shirt cap Ayam.. Maka aku mengumumkan aku seorang ahli KARIPAP supaya penyokong-penyokong tegar mana-mana parti tidak salah anggap aku menyokong pihak yang satu lagi sekiranya aku tidak bersetuju dengan mereka. Walau bagaimanapun pengumuman itu tidak berjaya juga menghakis tuduhan-tuduhan dan kecaman-kecaman daripada penyokong parti yang berkenaan terutamanya PR sebab ramai kawan-kawan media sosial aku cenderung kepada PR.

Pada pemerhatian aku, dari permulaan sampailah sekarang, aku dapati masing-masing tidak bersikap adil dan bersih terhadap orang lain dan diri mereka sendiri. Masing-masing menyembunyikan, memanipulasikan dan memainkan sentimen, maklumat, andaian dan spekulasi yang hanya menyebelahi pihak masing-masing dengan matlamat untuk menang pilihan raya dan bukannya untuk menegakkan kebenaran atau kesejahteraan rakyat. Semua tidak berkecuali dalam hal ini termasuklah PAS. Cuma PAS kurang sikit je daripada yang lain. Aku kengkadang sedikit kelakar bila penyokong PR yang mendakwa BN memperbodoh-bodohkan rakyat, turut memperbodoh-bodohkan rakyat juga dan diri mereka sendiri.

Tidak ramai rakyat Malaysia yang mengundi setelah membuat penilaian masak-masak. Ramai yang terdorong semangat kepartian atau perasaan ingin memberontak terutama yang masih muda macam aku ni. Kematangan politik itu masih jauh ketinggalan walaupun ada satu dua golongan yang mengambil pendekatan yang sama dengan aku iaitu menilai secara objektif dan membuat keputusan berdasarkan fakta yang ditapis sendiri dan bukan yang disuapkan oleh satu pihak saja.

Aku mengundi berdasarkan pemerhatian sekeliling dan apa yang aku rasa satu fakta dan bukan satu tuduhan, khabar angin atau semata-mata spekulasi.

Aku mengundi bukan berdasarkan video seks sapa goyang lagi kuat, spender siapa lagi besar, aiskrim mana lebih manis, sumpah siapa paling makbul kat Mekah ke kat dalam Masjid, junjung Quran ke tak, calon tu gay ke lesbian, ejen Yahudi ke tak... sebab semua ini adalah perkara yang tidak penting kerana ada perkara yang lebih besar yang harus difikirkan iaitu halatuju diri aku sendiri.

Kenapa aku cakap lebih besar? Sebab memang aku besar pon. Sebab untuk mengubah sesuatu, haruslah mengubah diri sendiri dulu. Halatuju diri sendiri dipengaruhi oleh dasar-dasar negara yang akan mempunyai kesan langsung kepada aku.

Maka aku pun membuat keputusan dengan memikirkan "Whats in it for me?"

Untuk DUN, keputusan itu agak mudah dilakukan berdasarkan apa yang berlaku sejak lima tahun aku tinggal di sini. Kemunculan calon ketiga (sayangnya bukan calon cap Ayam) membuatkan keputusan itu susah sikit tapi setelah menilai perihal calon itu, siapa yang patut aku pangkah agak jelas.

Untuk Parlimen, waktu tengah beratur nak undi sambil main Candy Crush Saga  pun aku masih belum betul-betul buat keputusan lagi.  Sebab tersekat dekat level 30 game tu.

Sebab calon yang menyandang kerusi itu adalah calon yang baik. Ada hubungan peribadi dengan seseorang yang aku kenal. Nampak hasil kerja yang dia usahakan sebagai penyandang kerusi. Dia memang orang sini.

Calon lagi sorang langsung aku tak kenal, Katanya dia orang daerah lain. Tak tahu apa pencapaian dia melainkan seorang yang setia kepada parti.

Walau bagaimanapun, setelah jari aku dicalit dengan dakwat kekal yang tak kekal tetapi halal walaupun digoncang, aku baru teringat kenapa aku mengundi kali ini.

Aku mengundi untuk perubahan.

Semoga undi aku membawa perubahan malam ini.

Amin.

p/s: Ini cubaan menulis ikut skema bahasa kebangsaan,



No comments:

Post a Comment